Home Tidur 7 Sebab Kenapa Anda Perlu Cukup Tidur. Jangan Anggap Remeh!

7 Sebab Kenapa Anda Perlu Cukup Tidur. Jangan Anggap Remeh!

15
0

Mak selalu marah bila tidur lewat, katanya tak elok perempuan tidur lewat. Eh, bukan perempuan sahaja tetapi lelaki pun tak boleh tidur lambat. Sebenarnya tidur lewat atau tidak, itu bukan masalahnya cuma kualiti tidur dan cukupkah tidur kita itulah yang menjadi persoalannya. 

Tahukah anda, kajian menunjukkan waktu tidur terbaik adalah tidur dalam tempoh 7 atau 8 jam ke atas setiap hari.  Selain itu, kajian pakar Itali dan Inggeris menunjukkan bahawa antara 1.3 juta orang yang tidur, 12% daripadanya berisiko mengalami kematian kerana tidur kurang dari 6 jam malah 1.7% pula berisiko mati kerana tidur kurang 5 jam. 

Terdapat banyak sebab kenapa anda perlu cukup tidur.  Tempoh masa tidur tidak boleh dianggap remeh biarpun anda sibuk dengan pekerjaan dan lain-lain. Tidur pada malam hari sangat penting. Jom lihat 7 sebab kenapa anda perlu cukup tidur.

#1  Proses Penambahbaikan, Penyembuhan dan Penuaan Kulit

Kulit akan dibaiki ketika anda tidur tidak kiralah masalah kulit kering, gatal, terdedah dengan matahari atau penyakit kulit yang kronik sekalipun. Tanpa tidur yang cukup, proses penyembuhan kulit tidak dapat dilaksanakan sepenuhnya. Wajah juga mengalami penuaan yang teruk menyebabkan muka lebih tua berbanding usia sebenar anda.

Menurut penyelidik dari University of Winconsin, masalah kulit kronik juga berhubungkait dengan kualiti tidur anda. Itulah sebab kenapa anda perlu cukup tidur setiap malam.

#2  Proses Membersihkan Otak

Antara sebab kenapa anda perlu cukup tidur juga adalah ia dapat melancarkan proses membersihkan otak dari protein beta-amyloid yang terhasil apabila terbangun dari tidur.  Penghasilan protein ini akan menjadikan seseorang itu berisiko mendapat penyakit Alzheimer.  

Menurut kajian, protein beta-amyloid akan terhasil dengan lebih banyak sekiranya kitaran tidur amat teruk dan kurang tidur. Ia akan menyukarkan pembersihan protein tersebut kecuali jika mendapat tidur yang cukup.

#3  Melindungi Kesihatan Jantung

Anda perlu mendapatkan tidur yang cukup bagi melindungi jantung dan mengelakkan daripada tekanan darah tinggi.  Kajian membuktikan bahawa tidur tidak cukup akan memudahkan tekanan darah anda naik. Dikatakan konsentrasi protein C-reaktif berlaku kerana tidak cukup tidur. Dalam kajian tersebut, mereka yang tidur 4 jam mempunyai denyutan jantung yang sangat tinggi berbanding mereka yang tidur 8 jam.

#4  Mengawal Berat Badan dan Metabolisme

Tidak cukup tidur bukan menjadikan anda kurus, sebaliknya lebih gemuk dan berat badan meningkat. Walaupun tidak mengambil kalori yang banyak, perubahan hormon akibat tidak cukup tidur dan perubahan proses karbohidrat akan menjadikan berat badan bertambah. Tidur lewat juga dapat menaikkan nafsu makan anda dan lemak akan mudah terhasil jika makan sebelum tidur.

#5  Mudah Belajar dan Mengingati Sesuatu

Kini sudah terjawab, patutlah mak ayah perlu disiplinkan anak-anak tidur awal setiap hari. Rupa-rupanya ia meningkatkan fungsi otak untuk mengingati sesuatu memori dengan baik. Otak juga mempunyai proses konsolidasi dimana memori akan tersimpan dengan baik ketika anda tidur. Jangan hairan jika pelajar yang tidur selepas belajar akan mudah ingat pelajaran tersebut. 

Begitu juga dengan kajian yang telah membuktikan bahawa orang dewasa sukar mengingati sesuatu perkara atau pelajaran kerana mereka tidak cukup tidur. Jangan pandang remeh lagi!

#6  Mengelakkan Kemurungan dan Gangguan Emosi

Pernah dengar kemurungan atau stress? Ia adalah salah satu kesan gangguan emosi dan mental yang mendatangkan pelbagai risiko kesihatan lain.  Antara sebab anda perlu cukup tidur adalah bagi mengelakkan berlakunya masalah kemurungan dan gangguan emosi.  Ahli psikologi, Daniel Kahneman melakukan kajian yang melibatkan 909 wanita bekerja bagi mencatatkan mood harian mereka. Faktor gaji bukanlah masalah mereka tetapi rupanya faktor tidak cukup tidur yang menjadikan mood mereka bermasalah.

#7  Mengawal Sistem Kekebalan Badan

Perasan tak orang yang tak cukup tidur pasti mudah selesema dan demam, seolah-olah antibodi mereka tidak kuat? Ia juga pernah dikaji dan terbukti mereka yang kurang tidur mudah mengalami demam berulangkali. 

Sistem imunisasi terganggu dan sistem kekebalan tubuh juga tidak mampu melawan serangan bakteria dan kuman dalam badan. Sekiranya anda mengambil ubat atau vaksin, ia juga kurang berkesan jika tidak cukup tidur. Kembalikan jadual tidur yang betul jadi sistem badan akan berfungsi dengan baik. 

Tidur adalah perkara penting yang sering dianggap remeh dalam menjaga kesihatan diri. Namun kesannya amat besar sekali jika diabaikan. Semoga 7 sebab kenapa anda perlu cukup tidur setiap hari ini dapat membantu anda mengubah jadual tidur yang lebih baik.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here